Saturday, 3 December 2011

Mari bercerita pra sekolah.







Siti ke Pasar Tani
Pada hujung minggu, Siti mengikut ibunya ke pasar tani. Seawal pagi, Siti sudah bangun dan mandi. Ibu Siti memandu kereta ke sana. Di pasar kelihatan ramai orang sedang sibuk membeli barang dan kedengaran riuh-rendah suara peniaga. Ada yang menjual ikan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ibu dan Siti pergi ke bahagian orang yang menjual daging ayam.

Semasa berjalan ke tempat tersebut, Siti dapat melihat ada orang menjual ketam, udang dan pelbagai jenis ikan. Ada ikan yang besar tetapi dipotong menjadi kecil. Ada juga banyak ikan kecil yang dijual dalam longgokan. Setelah ibu membeli daging ayam, mereka pergi membeli sayur-sayuran. Ibu juga tidak lupa membeli buah oren dan epal. Apabila ibu selesai membeli, mereka pulang ke rumah. Siti berasa sungguh gembira dengan pengalaman yang diperolehnya pada hari itu.





 
 
Roti Penuh Kasih Sayang

Muhammad seorang anak yang bijak dan aktif. Dia suka makan roti bersalut mentega kacang dan coklat. Tetapi, dia tidak mahu makan roti yang tidak dibuang keraknya. Dia berkeras bila ibu dan bapanya memujuk dia makan keseluruhan roti. Dia membiarkan roti tersebut di dalam piring tanpa diusik. Dia merajuk dan terus duduk menonton televisyen. Tiba-tiba Muhammad melihat slot iklan yang memohon sumbangan bagi mengurangkan kesengsaraan penduduk di Semenanjung Gaza, Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. Ada sekumpulan kanak-kanak menangis kelaparan. Dia terkejut melihat mereka berebut sekeping roti kosong dan hanya dapat makan secubit roti. Air mata Muhammad mengalir perlahan. Dia berasa berdosa kerana tidak menghargai rezeki yang ada lalu berlari mendapatkan ibu bapa dan meminta maaf. Bapa Muhammad tersenyum.

“Apabila kita bersyukur dengan rezeki yang Tuhan berikan dan tidak membazir, kita adalah manusia yang penuh kasih sayang. Di luar sana ramai yang kelaparan. Jadi, belajarlah menginsafi kehidupan orang lain.” Muhammad mula faham mengapa ibu bapanya selalu memaksa dia makan keseluruhan roti kerana kerak roti pun sedap juga.





Saling Sayang-menyayangi

Suatu hari umi membawa anak-anaknya Sara dan Izzah bersiar-siar di taman bunga. Setelah penat berjalan, mereka berehat seketika di sebuah bangku yang telah disediakan. Sambil berehat, mereka menikmati bekal yang dibawa dari rumah. Tiba-tiba Sara bersuara. “Umi kenapa kucing itu bergaduh?” umi tersenyum lantas menjawab, “Mereka bukan bergaduh. Mereka sedang bergurau senda.” “Umi, mereka saling sayang menyayangi tak?” tanya Sara lagi. “Mestilah. Haiwan pun tahu menyayangi adiknya. Kita mesti saling sayang menyayangi tidak kira sesiapa pun.
Lebih-lebih lagi keluarga dan saudara mara kita.” balas umi. Sara menganggukkan kepala tanda faham apa yang diperkatakan oleh uminya. Menjelang petang, mereka bersiap-siap untuk pulang. Di waktu malam, Sara mencium kedua-dua pipi adiknya yang sedang tidur sambil berkata, “Izzah, kakak terlalu sayangkan adik. Kakak akan sentiasa menyayangi adik sampai bila-bila.” Umi yang sedang melihat gelagat anaknya tersenyum dan terus memeluk Sara sambil berkata, “Umi pun sayangkan Sara dan Izzah .





Padah Suka Makanan Manis 
 
 
Sara kanak-kanak periang tetapi cerewet makan. Dia cuma makan aiskrim dan gula-gula. Ibu Sara selalu nasihatkannya kurangkan makan makanan kegemarannya itu. “Sayang, gula-gula dan aiskrim tidak memberi khasiat pada badan kita. Sara jangan makan banyak-banyak sangat.” pesan ibu Sara. Suatu hari, Sara diserang sakit gigi. Sara menangis sekuatnya kerana terlalu sakit. “Ibu tolong Sara. Sakit.” Ibunya terus membawa Sara ke klinik gigi.
“Sara, awak selalu makan makanan manis ya?” tanya doktor gigi. Sara hanya menganggukkan kepala. “Gigi awak berlubang. Awak kena kurangkan aiskrim dan gula-gula. Awak kena makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan mesti gosok gigi setiap kali lepas makan atau sebelum tidur,” pesan doktor gigi. Sara hanya membawa Sara ke menunduk dan diam mendengar nasihat doktor. Selepas dirawat, ibu pasar raya. “Lihat! Buah oren ini segar. Tentu sedap. Lagipun buah ini kaya dengan vitamin C. Betik ini pun Sara hanya mengangguk sedap juga. Kaya pula dengan vitamin A. Kita beli ya Sara.” kata ibu Sara. sambil tersenyum. “Aku tidak mahu sakit lagi. Aku kena dengar cakap ibu dan ingat pesan doktor gigi.”




Dengar Kata Mama

Syazwan baru berumur empat tahun. Dia aktif dan nakal. Oleh kerana Syazwan belum bersekolah, dia asyik bermain dengan alat permainannya tidak kira kecil atau besar. Syazwan selalu membuat mamanya marah apabila membuat sepah. Berulang kali mamanya menyuruh Syazwan supaya menyimpan semula alat permainannya tetapi dia tidak mahu mendengar kata. Suatu hari, Syazwan mengeluarkan semua alat permainan tanpa pengetahuan mama. Tidak lama selepas itu, mamanya datang. Belum sempat mama menegur, Syazwan terus berlari kerana takut dimarahi. Malangnya, Syazwan terpijak salah satu alat permainan dan kepalanya terhantuk di tiang katil. Mama terus mendapatkan Syazwan dan berkata, “Itulah sebabnya mama marah kalau Syazwan sepahkan mainan. Tengok, apa sudah jadi.” Syazwan bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil di kepala. Sejak daripada itu, Syazwan pasti mengemaskan alat permainannya kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi. Mama pun gembira kerana Syazwan sudah mahu mendengar kata. 



  


No comments:

Post a Comment